Pages

Banner

Wednesday, August 28, 2013

10 Cara Kurangkan Boroi.

Perut boroi menjejaskan penampilan. Malah, beberapa jenis penyakit turut berselindung di sebalik perut buncit itu yang mana saiznya tidak sepadan dengan keseluruhan tubuh pemiliknya.

Menurut pakar kesihatan Dr. Selfie C. Rijal, lemak yang menyebabkan kebuncitan pada perut sebenarnya terdiri daripada dua jenis. Pertama, lemak yang disimpan oleh tubuh di bawah kulit atau yang biasanya dipanggil lemak subkutaneus.  Kedua, lemak yang disimpan oleh tubuh di rongga perut dan mengelilingi organ-organ di dalam perut, yang dikenali sebagai lemak viseral.

Lemak viseral yang berada di sekeliling perut adalah sumber asid lemak bebas yang terus masuk ke hati melalui vena portal (vena besar yang membawa darah dari usus ke hati). Lemak ini tahan dengan kesan insulin (hormon yang mengawal metabolisme karbohidrat).  "Semakin tinggi jumlah lemak viseral ini, maka semakin buncitlah orang itu," ujarnya. Beliau menegaskan yang jumlah lemak viseral adalah berkait langsung dengan tahap kebuncitan perut.

Doktor lulusan Universiti Padjajaran itu juga menjelaskan bahawa antara kedua-dua jenis lemak itu, lemak viseral nyata lebih berbahaya. Ini kerana lemak viseral mempunyai kaitan    dengan metabolisme seperti pertahanan insulin, diabetes, serta sistem peredaran darah.

Menurut doktor yang kini berkhidmat di Hospital Sari Asih, Tangerang itu lagi, semakin buncit perut seseorang, semakin tinggilah kemungkinan dia mengalami ketahanan insulin. Keadaan ini boleh membawa kepada beberapa penyakit.  Antara penyakit yang mudah hinggap ialah sakit jantung, strok, beberapa jenis kanser, diabetes jenis 2, serta kekebalan insulin. "Memang orang buncit berisiko besar mendapat pelbagai penyakit. Sebab itulah perut buncit adalah perkara yang perlu dirisaukan," tegasnya.

Bagaimana mengatasinya? Berikut adalah beberapa tip daripada Dr. Selfie:

1.   Makan lemak sihat
Percaya atau tidak, program diet rendah lemak tidak akan menghilangkan perut buncit. Perkara itu didedahkan oleh Profesor Dr. Mehmet Oz, dari Colombia University.  Sebenarnya perkara yang harus dilakukan ialah berhenti makan nasi putih dan menggantikannya dengan roti gandum murni. Makanlah lemak sihat seperti avokado dan minyak zaitun.

2.  Turuti keinginan tubuh
Kajian American Journal of Clinical Nutrition mendapati, jika seseorang memenuhi keinginan tubuhnya ketika lapar, dia akan cenderung makan lebih sedikit dalam tempoh tertentu.  Apabila seseorang mengidam untuk makan burger keju, dia mungkin akan makan burger keju selama beberapa hari sebelum akhirnya tubuh akan berasa bosan dan mengurangkan keinginan terhadap makanan itu.  Namun pastikan saiz hidangannya tidak berlebihan.



3.  Kurangkan saiz hidangan
Kajian oleh seorang pembantu profesor pemakanan di University of Illinois, Chicago, Krista Varady, mendapati orang yang mengurangkan jumlah hidangan hariannya sehingga 25 peratus, akan kehilangan berat badan sehingga 15 kg dalam 8 minggu. Makan secara terkawal  pada hujung minggu juga dapat membantu seseorang mengurangkan berat badan.

4.  Senaman sit-up tidak menghilangkan lemak
Sebanyak mana pun sit-up yang anda lakukan, ia tidak akan menyingkirkan lemak di perut. Sit-up akan menguatkan otot namun lemak sukar terbakar hanya dengan senaman itu. Sebaliknya, lakukan latihan menyeluruh di otot besar yang lain seperti kaki, bahu dan dada agar proses pembakaran lemak lebih optimum.

5.   Banyakkan senaman kardio
Apabila otot besar sudah dikuatkan dengan latihan beban, maka seterusnya lakukanlah senaman kardio bagi mempercepatkan proses pembakaran lemak.  Berlari atau melakukan senaman aerobik dapat membantu membakar kalori berlebihan dengan syarat pengambilan  lemak buruk dihentikan.

6.  Jangan kurang / lebih tidur
Kurang tidur akan membuatkan kadar metabolisme tubuh berkurangan sekali gus menyukarkannya membakar lemak.  Manakala tidur berlebihan pula akan membuatkan tubuh menjadi pasif dan terbiasa untuk tidak banyak bergerak. Kedua-duanya mengakibatkan lemak berkumpul dengan lebih cepat.

7.   Berhenti minum minuman bersoda (termasuk soda berlabel "Diet")
Kajian selama 10 tahun oleh University of Texas mendapati mereka yang kerap minum soda diet menjadi gemuk dengan lebih cepat berbanding mereka yang tidak minum minuman itu. Ini kerana pemanis tiruan dalam soda boleh membuatkan perut buncit lebih pantas dan mengundang rasa lapar dengan lebih cepat. Gantilah minuman ini dengan teh atau air lemon kosong.

8.  Bertafakur
Tahukah anda, ketika berdoa dan bertafakur, pengeluaran hormon stres kortisol akan berkurangan? Ya, inilah hormon yang menyebabkan perut buncit. Jadi, hindarilah stres, perbanyakkan berdoa dan bertafakur untuk menenangkan fikiran dan jiwa. Walaupun hanya 15 minit setiap hari, ia sudah cukup membantu.

9.  Gula yang sihat

Makan makanan manis sudah menjadi budaya orang Malaysia, namun biarlah manis yang sihat. Buah-buahan mengandungi gula semula jadi, begitu juga madu. Apabila makan makanan yang mengandungi gula seperti kerepek dan nasi putih, sebahagian besar kalori yang dimakan akan berubah menjadi lemak di perut.

10. Bersenam secara bijak, bukan secara keras

Apabila lemak di perut kian berkurangan, maka tibalah masanya untuk memulakan senaman  perut. Bersenamlah sehingga terasa regangannya dan janganlah berlebihan melakukannya.  Otot perut yang mantap akan membantu seseorang  tampil lebih sihat dan segar.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...